Wednesday, July 12, 2006

 

BAB 1: Pengenalan

1.1 Asal-Usul Bahasa Melayu

Asal-usul bahasa Melayu sangat menarik untuk dibincangkan. Hal ini kerana, berbagai-bagai teori dikemukakan oleh pengkaji bahasa Melayu. Dalam banyak teori yang dikemukakan itu, satu teori yang agak menarik perhatian ramai pengkaji dan dipersetujui adalah bahawa bahasa Melayu di bawa ke Nusantara oleh satu golongan masyarakat dari sebuah daerah di Indocina iaitu daerah Yunan kira-kira pada tahun 2500 SM. Golongan ini dikenali sebagai Melayu Proto, atau Melayu Kuno; Kemudian, kira-kira pada tahun 1500 SM datang pula golongan kedua dari daerah Asia Tengah, dikenali sebagai Melayu Deutro atau Melayu Moden.

Melayu Proto mengamalkan cara hidup yang sangat primitif. Mereka hidup di hutan belantara, menjadikan hutan sebagai tempat tinggal dan dan meneruskan kehidupan dengan berburu serta berpakaian daripada kulit kayu. Golongan ini hidup berpindah randah dan berpecah kepada beberapa kelompok kecil. Di negara kita, Melayu Proto masih wujud hingga sekarang yang dikenali sebagai orang Jakun, Temuan, Orang Laut dan Kanak. Kehidupan Melayu Deutro pula agak berbeza kerana mereka telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah yang subur di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam. Asalnya Melayu Deutro menuturkan satu bahasa yang sama, tetapi oleh sebab mereka suka belayar ke seluruh Nusantara, akhirnya perhubungan mereka terputus. Bahasa Mereka telah berkembang menjadi bahasa-bahasa yang berlainan seperti Jawa, Dayak, Minangkabau, Batak, Visaya dan sebagainya.

1.1.1 Keluarga Bahasa Dunia

Bahasa-bahasa di dunia ini telah di kelompokkan dalam 14 keluarga besar:

1. Indo-Eropah: Inggeris, Jerman, Belanda, Gaelik, Slavia, Rusia, Itali, Yunani, Sanskrit, Hindi, Sinhalis, dan lain-lain
2. Semit-Hemit: Arab, Yahudi, Aramaik, Tegrem, Somali, dan lain-lain
3. Ural: Fin, Lapland, Hangari, Samoyed, dan lain-lain
4. Altaik: Turki, Monggol, Tatar, Mancu, dan lain-lain
5. Sino-Tibet: Cina, Siam, Tibet, Miao, Yiu, Burma, dan lain-lain
6. Austronesia: Maori, Fiji, Hawaii, Malagasi, Melayu, dan lain-lain
7. Irian: Enga, Kate, Kiwai, Orikolo, dan lain-lain
8. Bantu: Swahili, Kongo, Zulu, Xosa, Tonga, dan lain-lain
9. Dravidia: Telugu, Tamil, Malayalam, dan lain-lain
10. Khoisan: Hotentot, Sandave, Hausa, dan lain-lain
11. Niger-Kongo: Mande, Malinke, Loma, Yoruba, Bariba, dan lain-lain
12. Makro-Sudan: Nubian, Teso, Luu, Maba, Fur, Manbetu, dan lain-lain
13. Amerika Utara: Chayenne, Sioux, Navajo, Zuni, Maya, dan lain-lain
14. Amerika Latin: Miskita, Guaymi, Panoan, Aymara, Guarani, dan lain-lain

Bahasa Melayu termasuk dalam keluarga ke-6 iaitu Austronesia. Masyarakat Austronesia tersebar di wilayah Nusantara dan beberapa wilayah di Kepulauan Asia Pasifik. Oleh sebab penyebaran mereka yang agak meluas itu, secara tidak langsung mereka turut mengembangkan bahasa di setiap wilayah yang diduduki, lalu membentuk rumpun-rumpun yang lebih kecil.

Rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang berikut:

1. Bahasa-bahasa Nusantara (kepulauan Melayu)
2. Bahasa-bahasa Polinesia (Hawaii, Tonga dan Maori)
3. Bahasa-bahasa Melanesia (kepulauan fiji, New Kaledonia dan Irian)
4. Bahasa Mikronesia (kepulauan Marianne, Marshall, Carolina dan Gilbert).

Bahasa Melayu tergolong dalam cabang Nusantara bersama kira-kira 200-300 bahasa yang lain. Antara bahasa yang tergolong dalam cabang bahasa Nusantara ialah Golongan Filipina, Golongan Sumatera, Golongan Jawa, Golongan Kalimantan, Golongan Sulawesi Selatan, Golongan Ambon-Timur, Golongan Halmahera Selatan Irian Jaya dan sebagainya. Secara lebih khusus, bahasa Melayu tersebar secara meluas di Semenanjung Malaysia hingga Selatan Thailand; sepanjang pantai timur Sumatera; kepulauan Riau; sepanjang pesisir Kalimantan Barat, pantai barat Sabah, bahagian pertama Sarawak, Singapura, Jakarta, Larantuka, Kupang, Makasar, Menado, Ternate, Banda dan Ambon.

1.1.2 Perkembangan Bahasa Melayu

Secara umumnya, bahasa Melayu telah mengalami 3 peringkat perkembangan, iaitu dari bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Praklasik dan Klasik, dan bahasa Melayu Moden. Bahasa Melayu moden adalah bahasa Melayu yang kita gunakan sekarang.

a) Bahasa Melayu Kuno

Bahasa Melayu Kuno berkembang di Nusantara pada abad ke-7M hingga abad ke-13M. Ketika itu berlaku zaman peralihan antara pengaruh agama Hindu dan Islam. Kuasa kerajaan yang paling berpengaruh pada masa tersebut adalah kerajaan Sriwijaya dan bahasa Melayu dipercayai telah menjadi bahasa pengantar kerajaan tersebut. Ini terbukti dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang tertulis dalam bahasa Melayu Kuno. Terdapat empat batu bersurat yang menjadi bahan bukti akan kewujudan bahasa Melayu Kuno pada waktu itu, iaitu:

1. Batu Bersurat Kedukan Bukit, Palembang (683M)
2. Batu Bersurat Talang Tuwo, berhampiran Palembang (684M)
3. Batu Bersurat Kota Kapur, Pulau Bangka (686M)
4. Batu Bersurat Karang Brahi, Jambi (692M)

Bahasa Melayu Kuno mempunyai ciri tersendiri, khususnya dari segi tulisan dan kosa kata. Sistem Tulisan dan Kosa kata Bahasa Melayu Kuno (BMK) menggunakan tulisan Palava, iaitu tulisan Purba Selatan India yang digunakan untuk penyebaran agama Hindu. Bahasa Melayu Kuno juga menggunakan sistem tulisan Kawi yang berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud penyair. Satu lagi sistem tulisan yang digunakan ialah tulisan Nagiri yang berasal dari utara India.

Berdasarkan bukti yang terdapat pada batu bersurat, kosa kata BMK banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit. Pengaruh bahasa Sanskrit pada waktu itu sangat besar dan oleh sebab bahasa Melayu pada waktu itu masih kekurangan kosa kata bagi mendukung konsep-konsep tertentu, , maka kosa kata bahasa Sanskrit telah dipinjam secara meluas sebagai langkah penyelesaian terhadap kekurangan tersebut.

Beberapa contoh yang berikut adalah antara bukti yang memperlihatkan pengaruh bahasa Sanskrit dalam bahasa Melayu.

i. Huruf w BMK berubah menjadi b dalam bahasa Melayu Moden (BMM).

Bahasa Melayu Kuno:

wuat
wunuh
wanum
watu
tuwa
wuah
wuluh

Bahasa Melayu Moden:

buat
bunuh
bangun
batu
tuba
buah
buluh

ii. vokal e tiada, diganti dengan a

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
dangantathapimarwangunlapas dengantetapimambangunlepas

iii. Awalan mar- dalam BMK menjadi ber- dalam BMM

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
marpalasmarwuat berlepasberbuat

iv. Terdapat konsonan yang dieja dengan aspirasi bh, ph, kh dan th akibat daripada pengaruh bahasa Sanskrit

Bahasa Melayu Kuno Bahasa Melayu Moden
bhumidhukasukhacitta bumiTuasukacita

b. Bahasa Melayu Pra Klasik dan Klasik

i. Bahasa Melayu Pra Klasik

Zaman praklasik dianggarkan bermula pada kurun ke-11 hingga kurun ke-14, iaitu zaman peralihan pengaruh Hindu-Arab. Pada waktu itu, bahasa yang digunakan bercampur aduk dan terdapat ciri-ciri arkaik pada bahasa Melayu. Ciri-cri arkaik adalah kata-kata yang digunakan bersifat Sanskrit, aksara (huruf) yang digunakan sangat kuat pengaruhnya dengan bahasa Arab.

Bahan-bahan bukti tentang kewujudan bahasa Melayu praklasik ini terdapat pada batu-batu nisan yang ditemukan di Brunei, Pahang, Champa dan Pasai.

1. Batu nisan anak Sultan Brunei dijumpai di Bandar Seri Bagawan (903M)
2. Batu nisan Seorang Wali Allah keturunan Arab di Pekan, Pahang (1029M)
3. Phan-Rang, Champa (1039M)
4. Batu nisan Sultan Malik al-Salleh (Merah Silu) di Pasai (1297M)
5. Batu nisan raja al-Ala (1389M)
6. Batu nisan Syeikh Ahmad Majanu, Sungai Udang, Melaka (1464M)
7. Batu Bersurat Terengganu, Kampung Buluh, Kuala Berang Terengganu (1887M)

Penemuan batu-batu nisan, khususnya yang bertulisan Arab di wilayah yang dinyatakan di atas itu membuktikan bahawa penduduk di kepulauan Melayu telah menggunakan bahasa dan tulisan Arab sebagai alat untuk berkomunikasi secara lisan dan bertulis. Di samping itu, ada juga kecenderungan penggunaan dwibahasa dan dwiaksara pada batu-batu bersurat seperti yang terdapat pada batu nisan Raja al-Ala. Batu nisan tersebut menggunakan aksara Kawi (bahasa Melayu/Jawa kuno) dan aksara Arab. Batu nisan ini berupa sajak lapan baris yang tertulis dalam bahasa Sanskrit. Transliterasinya adalah seperti berikut:

(bahasa Melayu/Jawa Kuno bertulisan Kawi)

Hijran nabi mungstapa yang prasida
Tujuh ratus asta puluh suwarsa
Haji catur dan dasa wara sukra
Raja iiman warda rahmat-allah
Gutra barubasa mpu hak kadah pase ma
Taruk tasih tanah samuha
Illahi ya rabbi tuhan samuha
Taruh dalam swarga tuhan

Terjemahan:

Setelah hijrah nabi, kekasih yang telah wafat, tujuh ratus lapan puluh satu tahun, empat belas haribulan Zulhijah, hari Jumaat, ratu iman warda (rahmat Allah bagi baginda) dari suku barubasa, mempunyai hak ke atas Kedah dan Pasai menaruk di laut dan di darat semesta, taruklah baginda dalam syurga tuhan.

Transliterasi dan terjemahan bahagian teks berbahasa Arab:

Matn al-Malikah al-Mu’azzamah alalah (al-alah)
Binti as-Sultan ala marhum Malik al Zahir kha (?)
Al athar (?) inb Walidihi Khan (?) al khanat (?)
Taghammadahul ‘L-Lahu (bi’r ridhwan fi’r-rabi’
‘ashar yaum al-Jumaah min Dzi’l hijjah bad wa
tis’ina wa sab’a mi’an min al hijrah al muotafawy (yah)

Terjemahan:

Ratu yang agung al-alah binti Alamrhum Sultan Malik al-Zahir, Maharaja (Khan) di masa-masa lampau, putera dari ayahandanya Maharaja dari putera Maharaja, semoga Alla menerimanya dengan sempurna pada 14 Zulhijah, Jumaat 791 Hijrah.

Penemuan Batu Bersurat Terengganu dan batu nisan di Sungai Udang, Melaka merupakan batu bersurat peringkat terakhir pada zaman praklasik kerana pada batu bersurat tersebut, terdapat pengaruh aksara Jawi. Penggunaan aksara Jawi ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu praklasik telah memasuki zaman baharu, iaitu bahasa Melayu klasik yang mempunyai aksara sendiri, iaitu aksara Jawi. Berikut adalah transliterasi yang terdapat pada penampang A Batu Bersurat Terengganu.

1. Rasul Allah dengan yang orang...(bagi) mereka...
2. Esa pada dewata mulia raya beri hamba meneguhkan agama Islam
3. dengan benar bicara derma meraksa bagi sekalian hamba dewata mulia raya
4. di benuaku ini (penentu) agama Rasulullah sall’llallahu’alaihi wassallama Raja
5. mandalika yang benar bicara sebelah dewata mulia raya di dalam
6. bebumi. Penentu itu fardzu pada sekalian raja mandalika Islam
7. menurut sa-titah Dewata mulia raya dengan benar
8. bicara berbajiki benua penentu itu maka titah seri paduka
9. tuhan mendudukkan tamra ini di benua Terengganu di pertama ada.
10. Juma’at di bulan rejab di tahun sarathan di sasanakala.
11. baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua.

ii. Bahasa Melayu klasik

Bahasa melayu Klasik adalah bahasa Melayu yang telah mantap dari segi aksara (ejaan) kerana orang Melayu pada waktu itu dipercayai telah mempunyai tradisi budaya keilmuan yang tinggi. Kadar celik huruf pada waktu itu agak tinggi dan mereka telah mampu merakamkan bahasa mereka dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu klasik telah tersebar dengan meluas pada zaman kegemilangannya kerana selain menjadi Lingua Franca, bahasa Melayu klasik juga juga menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu klasik telah digunakan untuk menyampaikan ajaran Islam, sama ada menerusi lisan mahupun tulisan. Pusat pengajian ilmu-ilmu Islam tersebur secara meluas dari istana ke madrasah, pondok dan surau-surau. Istana menjadi institusi penting dalam penyebaran ajaran Islam kerana pihak istana sendiri sangat menggalakkan tradisi keilmuan. Dengan demikian, istana menjadi tempat berkumpul para cendekiawan serta pujangga. Mereka telah banyak menghasilkan buku tentang kesusasteraan, keagamaan di samping menjadi juru bicara dan juru tulis rasmi pihak istana.

Bahan Bukti:

§ Surat antara raja-raja/tokoh terkemuka seperti surat Sultan Ternate kepada Raja Portugal yang tertulis pada 1521 dan 1522; surat antara Stamford Raffles dengan raja-raja Melayu antara tahun 1811-1816
§ Karya sastera seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang direkodkan penulisannya pada pada 1612, iaitu zaman kerajaan Johor, tetapi kisah yang terkandung dalam sejarah Melayu menunjukkan bahawa teks ini tertulis di Melaka semasa zaman pemerintahan Sultan mahmud Shah iaitu pada 1488-1511.
§ Teks undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka

c) Bahasa Melayu Moden

Sesuatu bahasa hanya dapat dianggap moden dan dinamis sekiranya bahasa itu terus mengalami perubahan dan perkembangan. Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang sentiasa berubah dan berkembang. Bahasa Melayu hari ini bukan sahaja bahasa kebangsaan Malaysia malah daripada bahasa perbualan ringan telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan. Kosa katanya telah bertambah dan diperluas. Gaya pengucapan telah dibakukan. Bahasa Melayu hari ini telah mampu menjadi wahana ilmu dan sebagai sarana budaya tinggi.

a. Tahap pertama: Proses Pemupukan Bahasa

Tahap ini bermula pada tahun 50-an iaitu tahap memperkenalkan bahasa Melayu kepada semua golongan masyarakat. Ramai tokoh yang berwibawa telah mempelopori perjuangan ini sehingga zaman itu dikenali dengan zaman Tan Seri Syed Nasir Ismail. Kegiatan utama kebahasaan yang dilakukan pada masa itu adalah dalam bentuk kempen Minggu dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Mereka menggunakan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” untuk membakar semangat kecintaan tehadap bahasa Melayu oleh semua kaum, baik bumiputera mahu pun bukan bumiputera. Matlamat asas perjuangan pada masa itu adalah untuk meyakinkan golongan bumiputera dan bukan bumiputera tentang kewajaran dasar bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris dalam semua bidang kehidupan; dari sistem pemerintahan hinggalah menjadi bahasa wahana penyampaian budaya tinggi.

b. Tahap kedua: Pembinaan Bahasa

Tahap ini bermula pada tahun-tahun 1970-an. Fokus utama pembinaan bahasa Melayu pada tahap ini melibatkan beberapa aspek iaitu ejaan, tatabahasa, peristilahan dan perkamusan. Hal ini perlu dilakukan kerana bahasa Melayu telah mengalami perkembangan yang pesat dari segi strukturnya. Dari segi ejaan pula, sistem ejaan yang sedia ada diseragamkan dengan negara Indonesia untuk mempermudah jalinan kerjasama yang erat antara penutur kedua-dua negara yang mempunyai induk bahasa yang sama.

c. Tahap ketiga: Pemantapan Bahasa

Pada tahap ini, bahasa Melayu bukan sahaja dipastikan betul dari segi penggunaannya tetapi juga mestilah cekap, berkesan dan indah. Untuk mencapai hakikat ini dua aspek yang dipentingkan ialah kecendekiaan dan kesempurnaan bahasa.

Kecendekiaan bahasa dimaksudkan dengan keupayaan bahasa itu menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan. Penggunaan gaya dan laras ilmiah yang mempunyai ciri seperti ketepatan, kejelasan dan logik.

Kesempurnaan bahasa pula bermaksud ciri bahasa yang tepat, berkesan dan sesuai dengan tugas dan konteks penggunaannya. Kesempurnaan bahasa dapat dilihat daripada kestabilan, kelenturan, kepelbagaian keberkesanan, dan keindahan bahasa.

1.1.3 Bahasa Melayu Sebagai Lingua Franca

Bukti bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai Lingua Franca di Nusantara boleh dinilai berdasarkan beberapa catatan yang dibuat oleh beberapa pengembara Cina, Portugis dan Belanda. Seorang pengembara Cina, I-Tsing yang dalam perjalanan dari China ke India telahg singgah di Srivijaya TM 672. Beliau telah mencatatkan bahawa pada waktu itu bahasa Melayu telah digunakan secara meluas. Godinho de Eredia, seorang Ahli Pengembara Portugis juga telah membuat catatan bahawa bahasa Melayu telah digunakan sebagai Lingua Franca di Nusantara. Manakala pada 1726, Francois de Valentijn, seorang pengembara Belanda menyatakan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja digunakan di Melaka, tetapi juga difahami di seluruh Nusantara.

1.2 Dasar dan Kedaulatan Bahasa Melayu

1.2.1 Asas Pemilihan Bahasa Melayu

Bahasa Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu sudah digunakan sebagai lingua Franca di kepulauan Nusantara. Pedagang dari China, Arab dan India terpaksa belajar bahasa Melayu untuk berurus niaga di Nusantara sejak abad ke-7 lagi, dan kemuncaknya adalah di Melaka pada abad ke-15.

Tiap-tiap daerah di Kepulauan Nusantara mempunyai bahasa yang pelbagai. Bagaimanakah penduduk antara daerah-daerah tersebut akan berhubung antara satu dengan lain jika mereka tidak mempunyai satu bahasa yang boleh difahami bersama (mutual intelligibility). Dalam situasi begini, satu bahasa harus dipilih untuk dijadikan milik bersama. Dalam konteks Malaysia, bahasa yang paling sesuai untuk dipilih adalah bahasa Melayu kerana di samping faktor sejarahnya yang gemilang, bahasa Melayu juga merupakan bahasa peribumi dan menjadi alat komunikasi bagi sebahagian besar rakyat Malaysia. Dengan kedudukannya yang begitu mantap, pemilihan bahasa Melayu mudah diterima oleh semua kaum tanpa banyak persoalan dan persengketaan.

1.2.2 Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan

Dalam Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 152 (Edisi Jun 1970) termaktub:

1. 152 (1) Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen.

Dengan syarat bahawa:

(a) tiada sesiapa pun boleh dilarang atau ditahan daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain.

(b) tiada apa-apa jua dalam fasal ini boleh menyentuh hak kerajaan Persekutuan atau hak mana-aman Kerajaan Negeri bagi memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam Persekutuan

2. Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, bahasa inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua majlis Parlimen, dalam dewan negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

3. Walau apa pun peruntukan fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, naskhah yang sahih:

(a) bagi segala Rang Undang-undang yang hendak dikemukakan atau pindaan-pindaan mengenainya yang hendak dicadangkan dalam mana-mana majlis Parlimen, dan
(b) bagi segala Akta Parlimen dan segala perundangan kecil yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

4. Walau apa pun peruntukan fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas daripada itu sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala perbicaraan di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dengan syarat bahawa, jika mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak payah diterjemah atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

5. Walau apa pun peruntukan fasal (1), sehingga selainnya diperuntukkan oleh Parlimen, segala pembicaraan dalam mahkamah rendah, lain daripada mengambil keterangan, hendaklah dijalankan dalam bahasa Inggeris.

1.2.3 Akta Bahasa kebangsaan, 1963/67 (Disemak 1971)

Akta Bahasa Kebangsaan (Tambahan no. 18) 1963, membuat tambahan dalam hal: maksud rasmi, terjemahan, perlanjutan penggunaan bahasa Inggeris (termasuk di dalam Dewan Undangan Ngeri dan Parlimen), teks sahih undang-undang (termasuk undang-undang bertulis sebelum 1. 9. 1967), bahasa mahkamah, tulisan bahasa kebangsaan, bentuk angka dan barang.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dipinda pada 1967 dengan memasukkan sembilan tambahan (Tambahan no. 57). Akta ini dengan jelas memperuntukkan bahawa selepas 1 September 1967, bahasa Kebangsaan mestilah digunakan bagi maksud-maksud rasmi, kecuali dalam beberapa kes tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris, dan berhubungan dengan negara luar.

Berhubung dengan pendidikan, bahasa Melayu mula menjadi bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah. Bermula pada 1958, bahasa Melayu diperkenalkan sebagai pengantar di kelas-kelas menengah aliran Melayu yang selepas itu menjadi sekolah menengah kebangsaan. Pada 1983, universiti tempatan buat pertama kalinya menerima pelajar tahun pertama yang berpendidikan keseluruhannya dalam bahasa pengantar bahasa Melayu.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan (1963/67) menunjukkan kepentingan mewujudkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Bahasa kebangsaan dapat melambangkan identity dan kedaulatan negara serta berfungsi menyatukan rakyat, sementara bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan, pendidikan, perdagangan dan upacara rasmi yang lain.

1.2.4 Akta Pendidikan

Akta Pendidikan 1961 menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Hal ini dinyatakan dalam perkara Perlaksanaan bahasa Kebangsaan, iaitu:

DAN BAHAWASANYA peruntukan selanjutnya adalah dikehendaki untuk menentukan agar dasar tersebut dilaksanakan secara berkesan, termasuk khususnya peruntukan bagi perkembangan yang progresif bagi suatu sistem pelajaran dalam mana Bahasa Kebangsaan adalah menjadi bahasa pengantar utama.

Akta pendidikan 1961 diasaskan daripada Penyata Razak (1960) dan telah dipinda pada 1960 menerusi Penyata Rahman Talib. Kedua-dua penyata tersebut menegaskan syor untuk menjadikan bahasa melayu sebagai pengantar di sekolah kebangsaan. Bagaimanapun, Akta Pendidikan 1961 telah dirombak pada 1996. Alasannya adalah bahawa kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan utama di rantau ini, dan bahasa Inggeris perlu diwajibkan di semua peringkat persekolahan. Kedudukan bahasa Kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996 dijelaskan pada perkara 17, iaitu:

“(1) Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang dirubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri [Pendidikan] daripada subseksyen ini.

(2) Jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.”

(Akta Bahasa Kebangsaan 1996: Perenggan 17)

1.3 Status dan Fungsi Bahasa Melayu

Status bahasa Melayu telah jelas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan.

Fungsi bahasa Melayu dalam konteks masa kini dapat diperlihat berasaskan dasar dan motif penggunaan bahasa itu sendiri yang dianggap sebagai fungsi am. Dasar dan motif penggunaan bahasa Melayu adalah seperti berikut:

· Penglahiran maksud perasaan ekspresi dan penunjang minda
· Alat komunikasi
· Alat integrasi dan adaptasi sosial
· Alat kawalan sosial

Fungsi bahasa Melayu dalam konteks negara kita yangberbilang kaum adalah seperti berikut:

1.3.1 Bahasa kebangsaan

Bahasa kebangsaan ialah bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara. Bahasa kebangsaan juga merupakan cerminan akal budi masyarakat Malaysia. Fungsi utama bahasa itu adalah menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dalam kehidupan seseorang, banyak bahasa yang dapat dipelajarinya dan dikuasainya, tetapi hanya ada satu sahaja yang mengikat dirinya dengan negaranya, dan bahasa ini adalah bahasa kebangsaannya. Bahasa-bahasa lain, baik bahasa ibundanya mahupun bahasa asing, tidak menimbulkan perasaan dalam dirinya bahawa dia adalah anggota daripada masyarakat yang lebih luas daripada hanya masyarakat kedaerahannya sahaja. Tanpa sesuatu bahasa kebangsaan, tidak akan timbul semangat kebangsaan dan semangat perpaduan, kerana bahasa kebangsaan itu bersifat centripetal dan bukan centrifugal.

1.3.2 Bahasa rasmi

Bahasa rasmi digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pentadbiran, sistem pendidikan negara, urusan perdagangan dan perusahaan, upacara rasmi kerajaan dan sebagainya. Bahasa rasmi tidak perlu merupakan bahasa kebangsaan kerana bahasa rasmi adalah bahasa yang semata-mata dianggap sebagai alat untuk tujuan tertentu yang tidak perlu dikaitkan dengan nasionalisme. Sebagai contoh, di Malaysia dari tahun 1957 hingga 1969 bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, tetapi dalam urusan rasmi dalam pemerintahan dan sebagainya, bahasa Inggeris masih digunakan di samping bahasa Melayu; bahkan bahasa Inggeris mengatasi bahasa Melayu. Mulai tahun 1969, bahasa Inggeris hilang kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan tempatnya diisi oleh bahasa Malaysia.

Bahasa rasmi tidak semestinya bersifat tunggal kerana ada sesetengah negara yang mempunyai bahasa rasmi hingga empat bahasa seperti di Singapura. Dengan mengambil kira faktor sejarah, sosial dan komposisi rakyat, kerajaan Singapura menjadikan bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi.

1.3.3 Bahasa Perpaduan

Sesebuah negara lazimnya mempunyai lebih daripada satu bahasa yang digunakan. Indonesia, misalnya mempunyai kira-kira 400 bahasa yang tersebar luas dari Sabang ke Merauke. Negara maju seperti Perancis, Britain dan Amerika Syarikat juga mengalami situasi yang serupa. Namun demikian, demi perpaduan rakyat yangberbilang kaum, tiap-tiap negara berkenaan telah memilih bahasa tertentu sebagai bahasa Kebangsaan. Tujuan pemilihan ini dibuat adalah untuk menyatupadukan rakyat di negara-negara berkenaan.

Di Malaysia, Bahasa Melayu berfungsi sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Bahasa Melayu dipilih kerana menjadi bahasa yang difahami semua kaum di Malaysia sedangkan bahasa Inggeris, Tamil dan Cina hanya difahami oleh kelompok tertentu sahaja. Ciri kesalingfahaman ini menjadi antara faktor terpenting pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Malaysia menginginkan keadaan yang sama seperti yang terdapat di Amerika Syarikat, Indonesia, dan negara-negara yang lain. Oleh sebab itu tindakan untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menyatupadukan semua kaum di negara ini supaya hasil daripada penyatupaduan ini lahirlah suatu rupa bangsa yang disebut sebagai bangsa Malaysia. Jalan terbaik (yang tidak akan menimbulkan prasangka) untuk menyatupadukan rakyat di sesebuah negara adalah menerusi bahasa, bukannya melalui politik mahupun agama kerana agama dan politik melibatkan fahaman dan keyakinan individu sedangkan bahasa hanyalah alat untuk menzahirkan buah fikiran.

1.3.4 Bahasa ilmu

Bahasa ilmu adalah bahasa yang menjadi wahana ilmu pengetahuan dan sekali gus menjadi asas pembicaraan tamadun yang tinggi. Sudah semestinya bahasa kebangsaan harus dijadikan bahasa ilmu, yakni bahasa yang digunakan dalam pendidikan dan dalam bidang ilmiah daripada tingkatan yang paling rendah sampai kepada tingkatan yang tertinggi, iaitu di menara gading. Inilah semangat yang dibawa oleh Penyata Rahman Talib (1956) dan Penyata Razak (1960). Dengan perkataan lain bahasa Melayu dijadikan pengantar di institusi pendidikan tinggi, baik IPTA mahu pun IPTS. Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1972 yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar sepenuhnya telah memberi semangat kepada semua pencinta bahasa Melayu untuk melihat bahasa tercinta itu terus dijulang ke tahap tertinggi.

Bahasa Melayu telah memikul fungsi ini secara tunggal sejak 1988 apabila Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) digunakan sepenuhnya. Semenjak tahun tersebut semua buku teks, peperiksaan, pengajaran-pembelajaran dilaksanakan dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

1.4 Bahasa dan Budaya

Bahasa dan budaya sukar dipisahkan. Ungkapan “bahasa menunjukkan budaya” dan “Bahasa Jiwa Bangsa” sangat sinonim dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya bagi orang Melayu apabila kita ingin menilai akal budi seseorang individu. Bahasa Melayu terkenal dengan kehalusannya yang menjadi tunjang kepada budaya Melayu. Budaya Melayu pula terkenal dengan penggunaan bahasa yang bersantun. Penggunaan bahasa yang bersantun dapat menunjukkan rasa hormat dan adab sopan yang tinggi dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Golongan yang lebih muda lazimnya menunjukkan rasa hormat terhadap golongan yang lebih tua; dan golongan yang rendah menghormati golongan yang berstatus atau berpangkat. Begitulah sebaliknya. Walau bagaimanapun, rasa hormat ini tidak sahaja diserlahkan melalui penggunaan kata sapaan, kata panggilan atau gelaran, malahan ungkapan-ungkapan tertentu juga dapat mencerminkan penggunaan bahasa yang halus dan bersopan santun.

1.4.1 Kesantunan Berbahasa

Perhatikan situasi berikut…

Pernahkah anda disapa oleh seseorang yang dikenali mahupun yang tidak dikenali dengan panggilan “kakak”, “abang”, “adik”, “uncle”, “auntie”, “pak cik”, “mak cik”, “encik”, “puan” dan sebagainya. Masyarakat Melayu terkenal sebagai masyarakat yang sangat kaya dengan sistem sapaan/panggilan dan contoh di atas adalah antara puluhan kata sapaan yang terdapat dalam masyarakat Melayu.

Bagi sesetengah daripada kita, sapaan/panggilan menjadi satu perkara yang sangat sensitif. Cuba bayangkan, anda disapa oleh pelajar atau orang yang tidak dikenali seperti berikut: “Pak Cik, boleh tanya tak, mana tandas?”, “Kakak, mana pejabat kewangan?”, ”Puan, saya nak buat ‘appointment’ pukul 10.00 pagi esok. Boleh tak?”

Contoh di atas adalah antara beberapa situasi yang mungkin telah atau akan berlaku terhadap diri anda. Jika telah berlaku apa reaksi spontan anda? Marah, kecewa, malu, sedih, atau tidak berasa apa-apa? Saya percaya kebanyakan daripada kita akan mempunyai perasaan tertentu. Malah bagi sesetengah orang situasi di atas mungkin dianggap seperti anak panah yang menembusi jantung! Walau apapun perasaan anda, situasi di atas sebenarnya sangat sukar untuk kita elak. Situasi ini terjadi sebagai akibat daripada sikap sebahagian daripada kita yang buat “acuh tak acuh” terhadap sensitiviti masyarakat. Sesetengah daripada kita tidak mengambil berat tentang sistem sapaan masyarakat Melayu yang begitu kompleks, lalu menganggap perkara ini remeh.

Menyapa seseorang dengan panggilan “pak cik”, “kakak”, “puan” atau sebagainya tidak salah jika sesuai dengan masa dan situasinya. Umpamanya, jika panggilan itu dibuat kepada orang yang dikenali serta mempunyai hubungan tertentu dengan si pemanggil. Bagaimanapun, jika Si Pemanggil (SP) tidak mengenali serta tiada sebarang hubungan dengan Yang Di Panggil (YDP), sapaan di atas akan menimbulkan situasi yang kurang selesa kepada YDP. Dalam konteks perhubungan antara individu, sapaan tersebut akan menyebabkan perhubungan itu “terencat” atau tidak lancar.

“Pak cik” hanya untuk menyapa atau membuat panggilan kepada bapa saudaranya atau lelaki yang lebih tua daripadanya, dan panggilan tersebut telah diterima guna oleh masyarakat setempat. “Kakak” pula digunakan untuk menyapa kakaknya atau kakak iparnya atau wanita yang lebih tua daripadanya dan panggilan tersebut telah diterima guna oleh masyarakat setempat. Panggilan “puan” pula digunakan untuk menyapa seorang wanita yang telah berkahwin dan statusnya itu diketahui oleh SP.

SP yang tahu berbahasa akan memilih panggilan “encik” atau “cik” untuk menyapa orang yang tidak dikenalinya, apabila mereka berjumpa buat kali pertama. Hal ini demikian kerana telah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat Malaysia bahawa sama ada lelaki, lebih-lebih lagi wanita yang telah berkahwin, mereka akan menjadi lebih selesa jika SP memanggil mereka dengan panggilan tersebut.

Akhir kata, walau siapa pun kita, untuk kita dihormati, kita harus terlebih dahulu menghormati atau sekurang-kurangnya mengajar orang cara untuk menghormati. BERBAHASALAH SEPETI SEORANG YANG TAHU BERBAHASA!

a) Definisi

Menurut Amat Juhari Moain (1992), kesantunan berbahasa adalah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang digunakan penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Pada umumnya, bahasa yang sopan mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej atau perasaan, seperti ibarat kata bijak pandai:

“Yang Kurik itu kendi, yang merah itu saga
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”

i. Kata Sapaan/Panggilan

Sebagaimana terlihat dalam situasi di atas, jelaslah bahawa kesantunan berbahasa atau penggunaan bahasa yang bersantun banyak bergantung pada pemilihan kata sapaan/panggilan yang tepat. Semasa seseorangindividu berkomunikasi dengan seseorang individu yang lain, pemilihan kata yang digunakan ditentukan oleh beberapa faktor seperti hubungan peribadi antara dia dengan orang yang dilawan bercakap, usia dan juga status.

Bentuk Kata Sapaan/Panggilan/Rujukan

1) Sapaan Ganti Nama Diri (GND):

Ganti nama diri ialah perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada diri seseorang. Dalam bahasa Melayu, ganti nama diri dibahagikan kepada tiga, iaitu ganti nama diri pertama, ganti nama diri kedua dan ganti nama diri ketiga.

Kata Ganti Nama Diri Bahasa Santun Bahasa Kasar
PertamaKeduaKetiga saya, kamianda, awakia, beliau, mereka Aku Engkau (kamu)

Terdapat dua jenis bentuk kata ganti nama diri dalam bahasa Melayu, iaitu yang digunakan oleh kerabat Diraja (bahasa istana/bahasa diraja), dan kata ganti nama diri rakyat biasa atau orang kebanyakan. Dalam keluarga, sama ada keluarga Diraja mahupun keluarga orang kebanyakan, kata ganti nama diri selalunya melibatkan kata sapaan. Sapaan dalam keluarga begitu rencam, lazimnya sapaan dibuat mengikut kedudukan seseorang dalam keluarga. Bagi keluarga orang kebanyakan, sapaan berbeza bentuk sapaan berbeza mengikut negeri atau kawasan. Berikut adalah contoh umum ganti nama diri Diraja dan orang kebanyakan.

GND Diraja GND orang kebanyakan
betapatiktuankubagindaayahandabondahamba pak cikmak cikangahpak longkak longbusupak uda


2) Kata Sapaan Kehormat

ii). Gelaran

a). Gelaran Keturunan:

Raja: Tengku, tunku, engku, tuanku, raja
Bangsawan: Megat, Syed, Wan, Nik, Abang, Dayang

b). Gelaran Kurniaan:

Kurniaan Darjah Kebesaran: Tun, Tan Sri, Datuk (Dato’) Seri, Datuk (Dato’)

Kurniaan Ikhtisas: Profesor, Irsenio (Ir.), Jeneral

c). Gelaran Keagamaan:
Haji, Hajah, Sohibul Samahah

d). Gelaran Kekeluargaan

i). Keluarga Sedarah:
Kak Long, Pak Long, Pak Lang dll

ii). Keluarga Semenda:
Menantu, mentua, ipar, besan, biras


Soalan Pengukuhan

1. Penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama ___________________.

2. “Mereka telah menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara, dan telah memperlihatkan kepandaian belayar dan bercucuk tanam.”

Keterangan di atas merujuk satu golongan manusia yang disebut Melayu___________________.

3. Masyarakat di kepulauan Fiji, New Kaledonia dan Irian menuturkan bahasa ____________________.

4. Fungsi khas bahasa Melayu dalam konteks negara kita adalah sebagai...
____________________ ____________________
____________________ ____________________

5. Tahap pembinaan bahasa Melayu yang bermula pada tahun 70-an memberi penekanan terhadap pembinaan aspek
____________________ ____________________
____________________ ____________________

Comments: Post a Comment



<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?